Aug 2, 2013

Bijak Berbelanja



Assalam semua
tak sampai seminggu lagi kita akan berhari raya
macam mana dengan persiapan raya?
kalau pergi untuk membeli-belah tu,jangan sampai lupa diri

bercerita tentang membeli-belah,berbelanja...saya nak kongsi  Petikan artikel dari Berita Harian, 29 Jun 2013

p/s peringatan untuk diri sendiri jugak terutama yang BUJANG

boleh hubungi saya di norli.razali@gmail.com untuk mengetahui cara yang terbaik untuk menguruskan status kewangan anda


>> Alasan tiada tanggungan, mahu berseronok, boros berbelanja



Selalunya sesetengah orang bujang tidak mahu berfikir panjang apabila ada banyak duit. Mereka tidak mahu fikir sangat pasal menguruskan duit.



Maklumlah orang bujang. Tanggungjawab tak banyak. Kalau ada pun, mungkin membayar ansuran kereta atau pinjaman pelajaran seperti PTPTN. Selebihnya, selagi ada duit di tangan, mereka akan berbelanja mengikut kehendak hati. Menukar telefon atau gajet baru berharga yang kadang-kadang tidak diperlukan sangat, membeli pakaian atau aksesori berjenama mahal.



Bagi orang bujang lelaki, kerana hendak menunjuk dirinya ada banyak duit, mereka akan belanja makan teman wanita di tempat eksklusif.



Soal hendak membuat simpanan kadang-kadang tidak terlintas dalam fikiran segelintir orang bujang.



Jadi, atas sebab itulah, orang bujang adalah antara golongan paling banyak berhutang berbanding mereka yang berkeluarga.



Berikut ada cerita yang menggambarkan kehidupan orang bujang yang berjaya tetapi boros.



Ia mengisahkan Dr Azam (bukan nama sebenar), lelaki muda dan berjaya. Pada umur 33 tahun, dia hampir memiliki semuanya; dua kereta mewah, tinggal di kondominium mahal dan mempunyai kerjaya membanggakan.



Dr Azam berasakan dia berhak memiliki gaya hidup serba mewah kerana sudah bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi doktor pakar. Dia yakin mampu membeli apa saja yang diinginkan.



Dr Azam terlalu banyak bergantung kepada kad kredit. Dia berpendapat dengan gaji lima angka sebagai doktor pakar, tidak perlu bimbang dengan masa depannya. Apa yang penting ialah keseronokan serta merta dengan membeli semua kehendaknya menggunakan lima kad kredit yang dimiliki.



Dr Azam tidak ada bajet untuk menjejak aliran tunainya. Lama kelamaan, dia tidak mampu membayar ansuran dua keretanya dan hampir tidak dapat membuat bayaran minimum untuk semua kad kreditnya. Keadaan semakin meruncing apabila sewa kondominium juga tertunggak selama tiga bulan.



Berhadapan dengan tindakan pengusiran, Dr Azam didesak semua pemiutang supaya membayar hutang dengan segera. Sebuah keretanya ditarik oleh pihak bank. Tanpa disedari, Dr Azam dibelenggu hutang yang sudah mencecah RM 120,000. Takut akan diisytiharkan bankrap, dia mengambil keputusan mendapatkan bantuan AKPK.



Pengajaran daripada cerita Dr Azam ini ialah jangan ghairah hidup mewah atau memikirkan keseronokan saja semata-mata masih bujang, bergaji besar dan kerjaya bagus. Hutang juga tidak mengenal mangsa.



Oleh itu adalah penting untuk menguruskan bajet kita. Jangan ghairah sangat memiliki kad kredit. Kalau perlu sangat, cukuplah memiliki satu dan tidak lebih daripada dua kad kredit. Sebaik-baiknya ada satu saja.



Adalah dicadangkan menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan bulanan. Lebih baik kalau kita boleh simpan 15 peratus hingga 20 peratus daripada pendapatan bulanan (gaji) kerana kita akan mempunyai lebih banyak duit pada masa depan.



Panduan memupuk tabiat menabung

1. Menabung sebelum berbelanja

• Menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji atau pendapatan kita.

• Menabung secara automatik dengan menggunakan skim potongan gaji, auto debit atau cara lain sepertinya.



2. Dorong diri dengan sasarkan matlamat.

• Tetapkan matlamat yang bermakna dan penting untuk menggalakkan diri kita menabung.

• Kita boleh menetapkan matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang.



3. Jadikan tabiat.

• Selepas membuat simpanan 10 peratus daripada gaji kita, cabar diri untuk meningkatkan tabungan secara beransur-ansur.



4. Simpan sebahagian ‘durian runtuh’.

• Setiap kali terima duit seperti bonus atau hadiah wang tunai, masukkan sebahagian wang itu ke dalam akaun simpanan.

• Kalau kita menerima kenaikan gaji, tingkatkan jumlah simpanan bulanan kita.



Menabung untuk kecemasan

Dalam kehidupan seharian, kadang-kadang kejadian tidak diduga boleh menyebabkan kita hilang keupayaan untuk mencari pendapatan. Ada kalanya kita mungkin memerlukan jumlah duit yang banyak dalam masa singkat untuk menangani masalah yang kita hadapi.



Kebiasaannya, tabungan kecemasan digunakan untuk menampung perbelanjaan kalau kita kehilangan pekerjaan atau mengalami masalah kesihatan serius dengan tiba-tiba atau akibat kos membaiki kerosakan rumah atau kereta. Kalau kita atau pasangan kehilangan pekerjaan, semua bil masih perlu dibayar.



Dalam keadaan begini, adalah penting bagi kita mempunyai tabungan untuk menanganinya. Sebagai panduan, kita perlu mempunyai simpanan yang boleh menampung perbelanjaan asas kita selama tiga hingga enam bulan. Keadaan akan bertambah buruk jika kita perlu meminjam untuk mengatasi yang timbul.



Selain menabung untuk tujuan kecemasan, bajet atau perancangan perbelanjaan juga boleh membantu kita menyimpan untuk pembelian barangan atau perkhidmatan yang bernilai besar.

No comments:

Post a Comment